Semai nilai murni, tanggungjawab sosial bersama





Berita dan Foto : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi





MENTIRI, Khamis, 19 Februari. - Amalan bergotong-royong membersihkan kawasan tanah perkuburan dapat memupuk semangat perpaduan dan silaturahim dalam kalangan masyarakat di samping menjaga kesucian serta kebersihan tanah perkuburan.


Justeru, Majlis Perundingan Mukim (MPM) Mentiri berinisiatif dengan mengendalikan aktiviti membersihkan Tanah Perkuburan Islam Kampung Mentiri, di sini.


Hadir menyertai gotong-royong ialah Pemangku Penghulu Mukim Mentiri, Awang Faidil Rosemady bin Mohamad yang juga selaku Ketua Kampung Kawasan 4 Rancangan Perumahan Negara Kampung Panchor, Mukim Mentiri.


Sejurus kerja pembersihan selesai, bacaan Tahlil dan Doa Arwah disedekahkan kepada mereka yang sudah kembali ke rahmatullah yang dipimpin oleh Pemangku Ketua Kampung Sungai Buloh, Pengiran Halidi bin Pengiran Ibrahim.


Awang Faidil Rosemady melahirkan penghargaan terima kasih kepada mereka yang turut sama menghulurkan dari segi tenaga bagi mengekalkan tanah perkuburan sentiasa bersih dan tiada samak samun demi kesejahteraan bersama terutama sekali keselesaan para pengunjung.


Selain itu, dengan adanya aktiviti kebersihan yang diungkayahkan ini juga katanya, merupakan salah satu kerja kebajikan dan jariah kita terutama sekali di bulan Ramadan yang suci ini yang bukan sahaja menjaga keindahan fizikal tanah perkuburan tetapi juga menyuburkan nilai murni dan tanggungjawab sosial bersama.


Juga hadir semasa aktiviti tersebut ialah ketua-ketua kampung dan pemangku ketua kampung di bawah Mukim Mentiri.


Close